Bab 7
Ahmad sudah berada di dataran masjid, menunggu waktu subuh yang akan masuk lebih kurang sejam lagi. Walau bagaimanapun dataran masjid sudah mulai dipenuhi orang. Sekarang ini lebih dari sejuta manusia telah membanjri Kota Mekah. Menjelang hari wukuf, angka ini akan mencecah ke 3 juta. Semuanya ke sini hanya untuk satu tujuan, untuk mengabdikan diri kepada Allah, dan mengerjakan rukun islam yang kelima.
Naufal sudah hantar sms kepada Ahmad Arief, mereka akan bertemu di tempat biasa. Selalunya mereka bersembahyang di tempat masjid yang berhawa dingin. Arief berjalan menuju ke tempat yang dijanjikan. Kalau lambat bukan sahaja tidak dapat tempat sembahyang, malahan untuk masuk ke kawasan masjid pun sukar.
Setiap tahun pada musim haji, di sinilah tempat Ahmad Arief . Sepanjang bulan haji dia akan berada di sini, cuma tahun ini dia mengambil keputusan untuk mereka ke Madinah dahulu untuk mengerjakan sembahyang di masjid Nabawi sebanyak 40 rakaat dan kemudian dia dan Yusof berada di Makkah sehingga tamat musim Haji. Arief merasa tenang bila berada di sini. Dia boleh hilangkan dirinya di tengah-tengah jutaan manusia yang berada di sini. Tidak ada sesiapa yang mengenalinya. Tidak sesiapa yang menganggunya, mengetahui kewujudannya . Dia juga boleh berada di situ tanpa memperdulikan sesiapa, tidak mengenali sesiapa, tidak diganggu sesiapa kecuali Yusof. Kadang kala Yusof datang menganggu ketenangannya, buat Arief marah. Arief lebih suka sendirian semasa dia berada di sini. Boleh dia lakukan apa yang dia hendak lakukan dengan mudah.
Tetapi tahun ini agak berlainan sedikit. Tahun ini dia berinteraksi dengan orang lain. Dia pun sebenarnya tidak mahu melibatkan diri dengan sesiapa, dia suka sendirian. Tetapi semasa dia Madinah, sebuah keluarga begitu menarik perhatiannya, budak lelaki yang paling muda begitu aktif melompat ke sana-ke sini, Ahmad Arief teringatkan Ahmad Aidid, adiknya . Dia melihat sahaja mereka, tertarik dengan gelagat anak lelaki itu yang bersembang tidak henti-hentinya dengan abangnya, abangnya pula sabar melayan dia berbual. Begitu juga Ahmad Arief dan Ahmad Aidid. Ahmad Arief melayan Adid berbual dengan sabar. Ahmad Arief tiba-tiba menjadi rindu kepada adiknya itu bila memandang budak lelaki itu. Budak lelaki itu dipegang tanganya oleh bapanya, Ahli lain dalam keluarga ialah nenek, emak dan kakaknya. Rindunya Ahmad Arief kepada keluarganya sendiri, emak, nenek dan adik. Kenapa keluarga itu yang menarik perhatiannya?
Kemudian semasa dia keluar ke dataran Masjd Narbawi kerana dia hendak pulang ke Mekah, dia ternampak mereka lagi, tetapi kali ini dilihatnya mereka sedang tunggu di dataran masjid, muka mereka kelihatan begitu risau. Nenek tua itu kelihatan menangis. Ahmad Arief tidak sampai melihat keadaan mereka itu. Teringat Ahmad Arief akan arwah neneknya. Dia menghampiri mereka cuba bertanya kenapa? Baru dia tahu yang budak lelaki yang menarik perhatiannya itu hilang. Ahmad Arief jadi cemas, dia tahu ada orang yang hilang di sini tidak dijumpai terus. Ahmad Arief menghubungi Yusof yang masih lagi berada di dalam masjid, kemudian mereka mencari budak itu sehingga terjumpa. Yusof ada kenal beberapa pekerja di sekitar masjid Narbawi. Setelah menjumpai budak lelaki itu, Ahmad Arief membawanya bertemu dengan keluarga semula.
Ketika di Mekah juga, Ahmad Arief tercari-cari mereka, ingin dia melihat telatah budak lelaki itu, teringat dia akan Ahmad Aidid. Rindunya dia kepada Ahmad Aidid, rindunya dia kepada Umi dan neneknya sendiri. Setelah beberapa hari, dia dan Yusof memerhatikan orang yang lalu lalang, dia bernasib baik, dapat bertemu mereka, mereka sedang duduk berkelah di dataran masjid. Sebenarnya Yusof yang mula-mula sekali mengesan mereka, kemudian Ahmad Arief menarik perhatian Naim. Nampaknya keluarga itu suka sangat bertemu dengan Ahmad Arief, terutama sekali emak dan bapanya, kerana sangat terhutang budi dengan Ahmad Arief. Nenek, Naim dan Naufal juga kini rapat dengan Ahmad Arief. Naufal saling berSMS dengan Ahmad Arief untuk bertemu dan bersembahyang bersama-sama di masjid. Cuma anak gadis keluarga itu sahaja yang menunjukkan yang dia tidak selesa dengan kehadiran Ahmad Arief.
Gadis itu nampaknya tidak senang dengan dia. Gadis itu tidak mempercayainya. Macam dia rasa Ahmad Arief bukan ikhlas membantu mereka. Seperti Ahmad Arief ada menyembunyikan sesuatu daripada mereka semua. Ahmad Arief akui naluri gadis itu betul. Banyak perkara yang sembunyikan daripada mereka. Tetapi Ahmad Arief tidak rasa pandangan gadis itu begitu penting buat dirinya. Dia mendampingi mereka untuk melepaskan rindunya kepada Ahmad Aidid dan nenek. Lagipun selepas tamat musim haji ini mereka akan pergi. Jadi pandangan serong dan pendapat buruk gadis itu terhadap Ahmad Arief tidak begitu penting buatnya.
Mereka mengerjakan sembahyang subuh dan sembahyang jenazah. Selalunya selepas selesai sembahyang subuh, mereka pulang ke hotel. Tetapi kali ini Umi dan abah hendak terus duduk di masjid. Mereka hendak menunai sembahyang dhuha, bertawaf dan juga membaca quran. Abah hendak sangat habiskan bacaan qurannya, kalau boleh sebelum hari wukuf. Kumpulan mereka berpecah dua, nenek dan cucu-cucunya akan pulang ke hotel. Ahmad Arief hanya memandang mereka hendak beredar. Kemudian dia melihat nenek berkata sesuatu kepada cucu-cucunya, Naufal dan Naim nampak gembira, manakala si gadis nampak memasamkan mukanya. Tidak lama kemudian, Naufal datang menghampirinya.
"Anaa jaa'i, let's go and eat something." Kata Naufal menggosokkan perutnya.
"Madha tuhibb?" Tanya Ahmad Arief.
"Roti.! Roti …Abang, Naim hendak roti canai!” Jawap Naim."
"Can you take us to Malaysian restaurant Dsaji, nenek is buying us breakfast. Nenek belanja." Kata Naufal lagi. Sebelum datang ada kawan nenek beritahu tentang restoran D Saji yang menjual makanan Malaysia.
Ahmad Arief menganggukkan kepalanya. Dia tahu tentang restoran DSaji itu yang terletak di Al Hotel Safwah Royale Orchid. Ahmad Arief tahu betul dengan restoran Dsaji itu.
"Buat apa hendak suruh dia bawak, kita boleh pergi sendiri. Lagipun dia tahu ke roti canai tu apa? Cakap ikut suka aje Naim ni." kata Syikin, kurang senang bila mereka ajak Ahmad Arief makan sama. Sudahlah setiap kali mereka sembahyang dia ada bersama. Syikin tidak percaya dengan pemuda ini. Kenapa dia sentiasa ada di mana sahaja mereka berada? Tidak senang betul dia dengan kehadiran pemuda itu.
“Abang Arief tahu le kakak. Lagipun kakak jangan cakap kuat-kuat, ada sesetengah perkataan dia tahu. Dan tengok muka kakak pun dia tahu kakak tak suka dia. Tak baik macam tu.” Tegur Naufal dengan lembut.
Syikin terdiam, kadang-kala Naufal ini ada gaya macam ustad. Begitu lembut dan penyabar orangnya. Memang betul juga kata-kata Naufal, Syikin lihat Ahmad Arief memandang sahaja wajahnya tanpa berkata apa-apa. Kalau dia faham kata-kata Syikin mesti dia kecil hati. Mahu tidak mahu ,Syikin terpaksa ikut sahaja mereka pergi ke Retoran tersebut.
“Nenek hendak belanja Arief makan, tengok dia ni macam tidak cukup makan aje, asyik puasa je. Nak jimat belanja dia kot.” Ujar nenek.
Syikin memandang Ahmad Arief dari atas ke bawah lalu berkata dalam hatinya, “mungkin juga hendak jimat belanja, dia selalu ikat perut dia dengan berpuasa. Hendak datang sini pun perlu belanja yang banyak. Di mana dia tidur, agaknya. Mungkin macam jemaah-jemaah lain yang tidur di dataran Masjid sahaja.”
Naufal, Naim dan Ahmad Arief berjalan di hadapan, dikuti oleh nenek dan Syikin di belakang mereka, Ahmad Arief memegang tangan Naim, Naim suka melompat ke sana dan ke sini. Takut terlepas genggaman tangan Ahmad Arief, hilang pulak Naim nanti. Orang yang berjalan balik dari Masjidil Haram begitu ramai sekali. Naufal kemudiannya berbisik dengan Ahmad Arief.
“ Don’t take notice of her, she is not ok.”
“Huh? Madha hadath?” soal Ahmad Arief.
“Just not ok…Boyfriend…problem, gone.” Bisik Naufal, takut didengari oleh Syikin, nanti kena pulas telinganya oleh Syikin pulak.
Ahmad Arief mengangguk faham. Naufal ingin memberitahu dia supaya jangan ambil hati dengan kelakuan kakaknya. Kakaknya kehilangan teman lelakinya. Ahmad Arief faham akan apa yang ingin Naufal katakan walaupun nampak benar kepayahan Naufal untuk berkomunikasi dengannya. Mereka tidak tahu yang dia faham apa yang mereka cakapkan. Tetapi oleh kerana dari awal Ahmad Arief sudah menyembunyikan kenyataan bahawa dia faham bahasa mereka, sekarang bukan masanya untuk dia menunjukkan dia faham bahasa Malaysia. Lebih baik dia buat seperti dia tidak faham. Nanti mereka tidak percayakan dia lagi. Cukuplah gadis itu sahaja yang tidak mempercayainya. Kadang kala terdengar gadis itu mengata tentang dia. Sakit juga hati Ahmad Arief, tetapi dia buat tidak tahu sahaja. Tidak lama lagi mereka akan balik ke Negara masing-masing. Pendapat gadis itu terhadapnya tidak membawa makna apa-apa pun kepadanya. Ahmad Arief hanya mahu melepaskan rindunya pada Naim dan nenek.
Hari ini nenek belanja mereka menikmati hidangan roti canai diRestoran DSaji yang terletak di Tingkat tiga Hotel Safwah Royale Orchid. Sedap betul rasanya sekali sekala makan di luar, ubah selera sikit. Setelah sekian lama, jemu juga mereka makan, makanan di hotel tersebut. Apatah lagi bila makan roti canai dengan teh tarik, Ramai orang Malaysia yang datang bersarapan di situ. Seronok juga melihat ramai orang Malaysia di situ. Ada juga pengunjung-pengunjung lain seperti jemaah Indonesia, Tunisia, Turki yang datang untuk mencuba makanan Malaysia. Harga makanannya pun tidaklah mahal sangat walaupun kedudukan restoran itu di dalam Hotel dan berdekatan dengan Masjidil Haram.
Selepas sarapan, Ahmad Arief menghantar mereka pulang ke hotel. Nenek hendak berehat di bilik hotel. Mereka akan datang semula pada waktu maghrib nanti. Kalau boleh Syikin ingin menghabiskan lebih banyak masa di masjidil Haram, bersembahyang, bertawaf sunat, berzikir atau sekurang-kurangnya memandang kaabah sahaja pun jadilah. Tetapi Syikin ada tugas yang dia harus lakukan, dia kena membantu nenek, kena sentiasa menemani nenek, menjaga adik-adik, dan mencucipakaian, dengan ini umi dan abah dapat menghabiskan lebih banyak masa mereka dengan beramal di Masjidil Haram. Ahmad Arief pulang menuju ke arah masjid, ke bilik tempat penginapan Yusof. Kadang-kala Ahmad Arief menumpang di sini, untuk mandi dn juga berehat. Pada waktu maghrib Ahmad Arief akan bertemu semula mereka itu di tempat biasa.
Yusof sedang tidur, mungkin kepenatan selepas selesai sembahyang subuh tadi. Dia tidak sedar pun Ahmad Arief masuk ke dalam biliknya. Ahmad Arief masuk ke dalam bilik air, terus mandi dan menyalin pakaiannya. Kemudiannya dia keluar semula dan pergi ke Masjidil Haram semula. Dia ingin mengerjakan tawaf sunat sementara menunggu waktu zohor nanti. Dia ingin memanfaatkan masa yang dia ada sepenuhnya di sini.
Kadang-kala dia menghabiskan masa berjam-jam di sekitar masjid tanpa pergi ke mana-mana walaupun ada waktu makan. Yusof akan datang dan memberikan sedikit makanan kepadanya kalau tidak, Ahmad Arief akan minum air zam zam sepuas-puasnya. Ataupun Ahmad Arief akan berpuasa sahaja sepanjang hari. Dia rasa begitu bahagia begini, beramal, beribadah, menyerahkan dirinya secara total kepada Allah Subhanallahhua taala. Kalaulah Ahmad Arief boleh selamanya sebegini.
Pergi mengerjakan ibadat umrah pun, mereka pergi bersama dengan Ahmad Arief. Selepas waktu Isyak, mereka menaiki teksi untuk bermiqat di Tanaim. Selepas itu, pulang untuk mengerjakan ibadat tawaf dan Saie dan bergunting. Kemudian mereka berjalan pulang ke hotel, selalunya Ahmad Arief yang temankan mereka kerana abah dan umi akan duduk di masjid. Umi dan abah betul-betul melepaskan rindu mereka dengan menghabiskan hampir semua masa yang ada di masjid. Bahagianya mereka berdua dapat berbuat demikian. Teruatama sekali dengan adanya Ahmad Arief, membolehkan Umi dan abah asyik beribadat di masjid sahaja, tanpa perlu merisaukan sangat tentang ibu dan anak-anak mereka. Mereka begitu percaya yang Ahmad Arief akan memastikan keluarga mereka selamat pulang ke hotel.
Pelik juga Syikin melihat kesanggupan Ahmad Arief menghabiskan masa bersama mereka dan keyakinan Umi dan abah terhadap kejujuran Ahmad Arief. Kadang kala bila Naim sudah kepenatan sangat, Ahmad Arief sampai sanggup mendukung Naim. Terharu juga Syikin melihat keperihatinan Ahmad Arief itu. Perhatian Ahmad Arief membuatkan Naim begitu sayangkan dirinya.
Begitu juga Naufal dan nenek. Nenek suka mengajak Ahmad Arief membeli-belah terutamanya selepas sembahyang Isyak atau lepas sembahyang subuh. Ahmad Arief pandai menawar harga barang-barang. Selepas membeli belah, Ahmad Arief jugalah yang akan membawa semua beg-beg barangan yang di beli tadi. Macam bell boy pulak. Kalau macam tu siapalah yang tidak suka bawa Ahmad Arief bersama-sama. Bila ada Ahmad Arief, nenek ada lagak macam Mem besar sahaja. Ahmad Arief begitu manjakan nenek, semua kehendak nenek, Ahmad Arief akan cuba tunaikan. Pergi kedai minyak wangi, pergi beli sejadah dan tasbih. Adakalanya Nenek hendak makan Ais Krim, nenek hendak makan nasi khabuli, nenek hendak ke kedai jual kurma, semuanya Ahmad Arief turutkan sahaja permintaan nenek itu.
Kadang-kala Syikin pelik, kenapa dia nampak begitu tenang dan bahagia berada bersama mereka, seorang nenek tua, budak-budak lelaki yang nakal dan seorang gadis yang asyik muncung sahaja mukanya. Ahmad Arief begitu banyak menghabiskan masanya, melayan karenah nenek dan Naim. Tetapi Ahmad Arief pula tidak pernah memperdulikan dia langsung. Bila Syikin cakap sesuatu tidak baik tentang dia, dia akan memberi sekilas pandang sahaja. Macam dia faham sahaja kata-kata Syikin tetapi dia tidak perdulikan pendapat Syikin. Syikin, nampaknya tidak penting kepadanya.
Perhatian hanya di tumpukan kepada Naim, nenek dan Naufal sahaja. Nampak seperti dia begitu sayang dengan mereka. Mereka pulak, saban hari asyik bercakap tentang Ahmad Arief sahaja. Jemu betul Syikin mendengarnya. Tetapi Syikin kena akui juga bahawa kehadiran Ahmad Arief merupakan satu anugerah kepada mereka. Memudahkan Umi dan abah beribadah, senang untuk mereka sentiasa berada di masjid. Ahmad Arief juga menjaga Naim, sentiasa memegang tangan Naim memastikan Naim tidak terlepas dari pandangannya. Ini sangat memudahkan Syikin, kalau tidak, penat juga Syikin hendak mengawal Naim.
Umi dan abah juga suka betul dengan pemuda yang berserabut tu. Setiap hari asyik memuji-muji tentang kebaikan hati Ahmad Arief. Terutamanya tentang kebaikan Ahmad Arief menjaga Naim. Naim pun kalau tidak bertemu dengan Ahmad Arief sehari pun tidak boleh. Mesti dia suruh Naufal hantar sms kepada Ahmad Arief kalau tidak berjumpa pada waktu yang dijanjikan.
“Sudahlah Naim, Naim tidak boleh harap abang ada bersama kita selalu, dia pun ada benda lain yang dia kena buat.” Pujuk Umi.
“ Betul tu naim, Nanti kita pergi ke Arafah dan Mina, abang Arief tidak ada bersama kita.” Kata abah.
“Kenapa kita tidak pergi sama.” Tanya Naim.
“Kita naik bas, kita sudah ada tempat yang sudah disediakan.” Terang abah.
“Habis tu, Ahmad Arief pergi macam mana.” Tanya nenek pula. Nenek pun hendak Ahmad Arief ada bersama mereka, lebih senang buat dia.
“Ahmad Arief mungkin pergi dengan bas atau berjalan kaki. Mula-mula ke Mina, kemudian baru ke Arafah, Mudzalifah, Mina, Balik ke Mekah melakukan tawaf dan saie kemudian balik ke Mina untuk melontar dan bermalam di sana. Dia orang di sini melakukan ibadat Haji mengikut sunah Nabi. Dia orang akan berkemah di tepi-tepi jalan sahaja.”
“Mana abah tahu?” Tanya Syikin.
“Ahmad Arief yang cakap, lagipun itu yang kebanyakan orang di sini lakukan.”
“Seronok ye abah, kalau ikut Abang Arief, berkemah macam tu.” Kata Naufal pulak.
“Memang seronok, umi dengar sepanjang perjalanan mereka, banyak orang yang mensedekahkan makanan dan buah-buahan untuk para jemaah. Lagipun kadang kala lebih cepat sampai dari kita yang naik bas, sebab trafik jam teruk.” Umi mencelah.
“Tetapi kita tidak boleh buat macam tu, kena dapat kebenaran tabung Haji. Dia hanya benarkan orang yang masih muda dan sihat untuk berbuat macam tu, lagipun ada nenek dan Naim, lebih baik kita ikut sahaja apa yang mereka sudah susun aturkan untuk kita, memudahkan kita mengerjakan ibadat haji kita dengan mudah dan selamat.” Terang abah dengan lebih lanjut.
“Tidak mengapalah, lepas tu kita akan jumpa lagi Abang Arief di Mekah.” Kata Umi. “Kesihan dia, biar dia selesaikan ibadat Hajinya dengan senang, asyik hendak melayan kita sahaja.”
“Tapi Naim suka abang Arief ada sama kita. Tak bestlah macam ni.” Naim mulai sugul.
“Tak apa kita telefon dia dan sms dia selalu.” Pujuk Naufal.
Nasib baik, Ahmad Arief ada telefon, kata Syikin dalam hati, walaupun sebenarnya buruk betul telefon Ahmad Arief tu. Model nokia yang mula-mula dulu, tanpa kamera. Agaknya dia beli telefon bimbit second hand atau ada orang sedekah sahaja dengan Ahmad Arief.
Malam ini mereka bercadang hendak membuat tawaf sunat selepas tamat waktu isyak. Selepas ini mungkin sukar hendak melakukan tawaf lagi kerana jemaah-jemaah haji menjadi bertambah ramai. Mungkin sukar bagi nenek nanti.
Seperti biasa Ahmad Arief sudah menunggu mereka di tempat biasa. Nenek, Umi dan Syikin sembahyang di saf belakang, manakala abah, Naim, Naufal dan Ahmad Arief bersembahyang di saf depan, untuk menegelakan dari bersembahyang, bercampur dengan lelaki dan perempuan. Tetapi oleh kerana bilangan jemaah terlalu ramai, ada juga antara jemaah-jemaah itu yang sembahyang bercampur dalam satu saf, Pengawai-pengawai masjid yang berbangsa Arab, datang mengarah jemaah wanita ke belakang atau menyuruh jemaah lelaki mara ke hadapan.
Selesai sembahyang isyak, sembahyang jenazah dan sembahyang sunat, mereka berjalan turun menuju ke kaabah, ingin menunaikan tawaf sunat. Ruang di sekeliling kaabah penuh dengan jemaah yang sedang bertawaf tetapi mereka masih boleh lagi memasuki ruang itu dan mula tawaf. Seperti biasa Ahmad Arief memegang tangan Naim, bertawaf bersama-sama abah dan Naim. Syikin bersama nenek dan Umi berjalan di belakang mereka. Selepas selesai tawaf mereka bersembahyang sunat di belakang makam Ibrahim. Selepas itu abah mengajak mereka ke Hijr Ismail untuk berdoa.
“Bila orang sudah terlalu ramai nanti, kita tidak boleh masuk ke dalam. Mari kita cuba masuk ke dalam untuk berdoa di sana. Naufal, bawa Naim tunggu abah di tangga masjid tu, di bawah papan tanda warna biru. Lepas di berdoa di Hijr Ismail, kami datang ambil Naufal. Jaga adik baik-baik ye.” Pesan abah. Ahmad Arief menghantar Naufal dan naim untuk duduk tunggu di tangga. Kemudian dia menyertai mereka yang lain meredah ribuan manusia untuk cuba masuk ke Hijr Ismail. Ahmad Arief yang meredah jalan untuk memberi laluan kepada mereka, agar dapat masuk ke dalam Hijr Ismail. Bila sampai di dalam dia segera mengepung kawasan dengan tangannya dan menyuruh Abah dan Umi sembahyang sunat. Syikin dan nenek menunggu di belakang abah dan Umi. Selesai abah dan Umi sembahyang sunat dan berdoa, Syikin dan nenek pula mengambil tempat untuk sembahyang, abah dan Umi begerak ke hadapan memberi tempat kepada mereka. Ketika itu juga sekumpulan jemaah merempuh masuk ke dalam kawasan Hijr Ismail, Umi dan abah terpaksa keluar dari situ dengan segera.
“Solat, solat.” Ahmad Arief menyuruh mereka sembahyang segera sementara dia mengepung kawasan mereka, menghalang jemaah lain merempuh ke arah nenek dan Syikin. Kesian Syikin melihat keadaan Ahmad Arief yang dihimpit oleh para jemaah lain tetapi dia tetap tidak berganjak dari tempat dia berdiri, memberi ruang kepada nenek dan Syikin bersembahyang. Mesti sakit badannya di rempuh oleh jemaah lain. Nenek dan Syikin segera menunaikan sembahyang sunat dan kemudian berdoa secepat mungkin. Selepas berdoa, Syikin segera bangun, mungkin Ahmad Arief boleh sembahyang juga selepas ini. Syikin memandang wajah Ahmad Arief, bertemu matanya dengan mata yang berwarna cokelat kelabu itu. Berpeluh-peluh dahi Ahmad Arief bertahan dengan tubuhnya untuk memberi ruang kepada Syikin dan nenek. Begitu terharu rasanya Syikin ketika. Dia mula terasa begitu ikhlasnyaa hati Ahmad Arief, memang betul anggapan umi selama ini. Ahmad Arief seperti dianugerahkan kepada mereka untuk memudahkan untuk perjalanan haji mereka. Mulai ketika ini Syikin berjanji tidak akan bersangka buruk dengan Ahmad Arief lagi selepas ini. Dia akan cuba berbaik sangka dengan Ahmad Arief. Kalau tidak ada Ahmad Arief, susah juga perjalanan Haji mereka ini, dengan membawa nenek yang sudah tua dan membawa Naim yang masih muda dan begitu aktif. Syikin rasa begitu bersyukur dengan kehadiran Ahmad Arief.
“Thank you. Shukran, Shukran.” Kata Syikin, itu sahaja antara dua tiga patah perkataan arab yang dia tahu.
“Afwan.” Jawab Ahmad Arief dengan ringkas tetapi sempat memberikan senyuman kepada Syikin, kemudian dia menoleh dan meredah jemaah-jemaah yang merempuh masuk ke dalam Hijr Ismail, diikuti oleh nenek dan Syikin dibelakangnya. Syikin lihat ada juga jemaah yang berebut-rebut juga memegang dinding kaabah dan kemudian mencium tangan mereka, perbuatan yang dilarang oleh pengawal-pengawal yang berkawal di sekeliling Hijr Ismail, takut menjadi satu amalan khurafat di kalangan jemaah-jemaah itu.
Mereka berjalan mengikut Ahmad Arief, yang membuka jalan untuk mereka. Selepas itu mereka terus ke tangga tempat Naim dan Naufal menunggu. Kemungkinan besar abah dan umi juga menunggu mereka di situ setelah berpisah tadi. Sukarnya mereka meredah melayan arus para jemaah yang sedang melakukan tawaf, tetapi akhirnya mereka dapat juga sampai ke tangga tempat mereka yang lain sedang menunggu. Di kaki-kaki tangga ramai jemaah-jemaah lain duduk di situ, memandang kaabah, tidak puas-puas memandang rumah Allah itu. Kemudian mereka beredar keluar dari kawasan masjid. Ahmad Arief mengajak merkea duduk di dataran masjid.
“Ya Jaddah, nenek, duduk.” Kata Ahmad Arief, menggunakan beberapa patah perkataan bahasa Malaysia.Mendahulukan nenek dengan memabntu nenek duduk di lantai dataran Masjid itu.
“Tunggu. sini.”
Dia terus meninggalkan mereka. Umi, abah, Naufal, Naim dan nenek duduk tanpa banyak bertanya. Mereka leka memandang gelagat jemaah-jemaah yang lain, ada yang duduk bersantai seperti mereka juga, ada yang berjalan beredar keluar dari dataran masjid. Mata Syikin mengekori Ahmad Arief yang berjalan di celah-celah jemaah-jemaah yang mundar-mandir di situ. Kemudian dia ternampak Ahmad Arief bertemu dengan seorang jemaah yang berpakaian segak, berjubah labuh. Lagak seperti orang berada. Orang itu kemudiannya menghulurkan satu bungkusan plastik yang sarat kepada Ahmad Arief. Ahmad Arief mengambilnya dan berkata sesuatu, mungkin menegucapkan terima kasih dan berjalan menuju ke arah mereka.
Rupaanya plastik yang Ahmad Arief bawa berisi bungkusan-bungkusan nasi Bukhari dan lauk ayam Kabsah dan kambing kabsah. Dia mengajak mereka makan, “Sedakah, sedakah.” Katanya.
Mereka semua memang sudah lapar, tanpa berlengah mereka makan dengan lahap sekali. Cuma Syikin sahaja yang perasan apa yang berlaku, mungkin lelaki yang berpakaian segak itu memberikan sedekah kepada Ahmad Arief. Mungkin kerana pakaiannya yang kusut masai, orang itu memberikan sedekah makanan kepadanya. Mungkin juga Ahmad Arief sudah biasa menerima pemberian jemaah di sekitar kawasan masjid ini. Itu sahaja yang buat jemaah-jemaah lain yang tidak berwang dapat mengharungi hidup di sini, atas belas kasihan dan sedekah orang lain. Di bumi yang mulia ini sesungguhnya sedekah datang melimpah ruah dari para-para dermawan. Syikin diam sahaja, dan makan perlahan-lahan. Segan dia hendak makan nasi yang disedakahkan kepada Ahmad Arief itu. Tetapi dia juga sedang kelaparan dan hidangan nasi dan lauk itu begitu enak sekali. Lagipun dia sudah berjanji dengan dirinya sendiri untuk tidak buruk sangka terhadap Ahmad Arief. Dia lihat Ahmad Arief begitu gembira melihat mereka menjamah makanan yang dia bawa untuk mereka. Agaknya selama ini Ahmad Arief juga segan, asyik mereka sahaja yang membelikan dia makanan? Tiba-tiba mata yang berwarna cokleat kelabu itu bertentang mata dengannya. Hatinya menjadi berdebar-debar seketika. Darah panas terasa mengalir ke mukanya. Cepat-cepat dia alihkan pandangan matanya. Bukan itu tujuan dia sini, dia di sini hanya mengabdikan dirinya kepada Allah dan menunaikan ibadat yang wajib ke atas dirinya itu.
0 comments:
Post a Comment