Post Icon

Bab 5


Jemaah haji penerbangan KT 06 selamat mendarat Lapangan Terbang Antarabangsa Al Madinah pada pukul 7.30 pagi. Cuaca di Madinah pagi-pagi begitu sejuk sekali. Nasib baik Umi sudah bersiap sedia menyuruh semua membawa jaket di dalam hand lugaggae. Syikin segera memakaikan jaket pada Naim. Naim melompat ke sana-sini, sepertimana lazimnya kelakuan budak berumur tujuh tahun, begitu sukar hendak mengawalnya. Kemudian Syikin membantu nenek memakai baju sejuk. Mereka terpaksa beratur panjang untuk melepasi pemeriksaan passport sebelum di bawa naik bas.

Bas-bas sudah beratur menunggu para jemaah haji ini. Selepas selesai sahaja pemeriksaan, mereka terus beratur untuk menaiki bas. Sementara menunggu giliran masing-masing menaiki bas, beg-beg mereka di angkut oleh perkerja ke atas bas. Pekerja-perkerja itu kelihatan sedang mencampak-campak sahaja beg mereka ke bumbung bas-bas yang sedia menunggu.

“Habislah beg-beg ni kena campak dek workers ni. Mesti ada yang rosak beg-beg ni nanti” Syikin mengerutu sendiri. Nampaknya mereka ini bukan orang arab, mungkin pekerja yang datang dari India atau Bangladesh. Tapi Syikin tidak mahu teruskan apa yang ada dalam pemikirannya itu, Umi sudah pesan semasa di tanah suci nanti jangan banyak mencari salah orang.

Syikin memandang ke luar tingkap bas, bas mula bergerak menuju ke hotel penginapan mereka. Dia memerhatikan Bandar Madinah al Munawirah, yang mendapat gelaran Bandar yang bercahaya ini. Mereka akan masuk ke bahagian tanah Haram. Rasulullah saw. membuat kota Madinah sebagai tanah haram, sebagaimana Ibrahim a.s. membuat kota Mekah menjadi tanah haram. Rasulullah saw. bersabda, "Kota Madinah yaitu daerah antara dua kawasan berbatu hitam adalah tanah haram." Sesungguhnya bumi ini bumi kecintaan Nabi Muhammad SAW.

Madinah ialah kota kedua paling suci selepas Makkah Al Mukarammah. Sebenarnya mengunjungi Madinah walaupun bukan termasuk dalam rukun atau wajib haji tetapi bagi jemaah Malaysia yang diuruskan oleh Tabung Haji, ziarah ke Madinah adalah sebahagian daripada program Kunjungan ke tanah suci.

Sebahagian besar daripada jemaah haji akan menginap di Madinah terlebih dulu selama lapan hari sebelum memasuki Makkah atau akan masuk ke Madinah selepas selesai mengerjakan Haji di Makkah. Hal yang sama turut diamalkan oleh jemaah dari sesetengah negara luar termasuk Indonesia, Thailand, India, dan Turki. Selain daripada berpeluang bersembahyang di Masjid Narbawi sebanyak 40 waktu, setiap jemaah digalakkan menziarahi tempat-tempat bersejarah yang ada kaitan dengan Nabi Muhammad SAW dan era awal penyebaran syiar Islam

Syikin lihat umi dan abah begitu gembira sekali, dapat menjejakkan kaki ke tanah suci ini kembali. Kebahagiaan dan ketenangan tertera diwajah mereka berdua. Bagai bertemu lagi kekasih sejati. Bagi nenek, Naufal dan Naim yang pertama kali menjejakikan kaki ke sini juga Nampak begitu teruja, mereka sudah lama ternanti-nanti untuk sampai ke sini. Pagi-pagi ini Bandar Madinah nampak begitu bermegah sekali dengan bangunan-bangunan yang mencakar langit. Keseluruhan Bandar nampak mengagumkan, bersih dan berseri, bersedia menyambut ribuan jemaah haji dari pelbagai negara yang akan masuk ke kota Madinah. Jumlahnya akan meningkat begitu mendadak sehingga ke angka ratusan ribu dalam beberapa hari ini.

Syikin agak kagum, selama ini dia tidak pernah ambil tahu, rupanya Kota Madinah juga dipenuhi dengan bangunan-bangunan besar dan serba moden tetapi masih mengekalkan nilai-nilai budaya islam. Sistem-sistem jalan,  rayanya moden dan teratur, meyambung ke bandar-bandar penting yang lain di Arab Saudi. Hari ini, Madinah adalah merupakan satu kota yang menempatkan seramai setengah juta penduduk, dengan adunan ciri-ciri moden dan tradisional. Syikin leka memerhatikan keindahan kota tua ini. Tidak berapa lama kemudian mereka tiba di hotel penginapan mereka, Hotel Anwar Al Medina Movenpick.

Umi dan abah sudah beri penerangan tentang hotel yang akan mereka duduki. Semasa Umi dan abah mengerjakan haji pada pertama kali dulu, Umi dan abah menginap di Hotel yang sama. Mereka semua turun dari bas, semua jemaah terpegun memandang keadaan sekeliling mereka. Terdapat satu deretan hotel-hotel yang besar dan tersergam indah. Syikin terasa deruan angin yang dingin menerpa dirinya. Dia menyedut nafas dalam dalam terasa kesegarannya. Syikin memandang wajah umi dan abah, yang kelihatan begitu bahagia. Nenek, Naufal dan Naim juga sedang memerhatikan ke adaan sekeliling mereka.

“Itu dia masjid Narbawi.” kata Umi menunjukkan kawasan Masjid yang terletak di hadapan, sebelah kiri mereka semua. Semua mereka memandang ke arah yang Umi tunjukkan. Masjid Narbawi terletak lebih kurang 50 meter dari tempat mereka berdiri. Permandangan di hadapannya menyentap hati Syikin, terus menawan seluruh jiwa raganya. Masjid Narbawinya tersergam begitu indah di hadapan mereka semua. Syikin tidak dapat menuturkan apa-apa perkataan pun cuma di dalam hatinya dia begitu bersykur kerana dia dapat menyaksikan kebesaran tuhan ini. Hanya Allah sahaja yang menentukan dia berada di situ menyaksi kegemilangan islam itu.

“Alhamdullillah.” Terdengar nenek mengucapkan kesyukuran yang Syikin juga rasanya tetapi tidak diluahkan olehnya.

Cahaya matahari mula menyinar keseluruhan kawasan masjid, Nampak bersinar-sinar dari tempat mereka berdiri. Masjid ini di bina dengan begitu kreatif oleh tangan-tangan orang muslim. Ini adalah masjid yang kedua terbesar selain dari Masjidil Haram di Makkah dan selepas program pembesaran yang telah siap dilakukan, Masjid ini dijangka boleh memuatkan hampir dua juta jemaah pada setiap kali waktu solat. Syikin masih terpegun lama, melihat keindahan masjid itu. Dia terasa seperti masjid itu memanggil-manggilnya, mengamit mereka supaya mendekatinya.

“Syikin, menung apa lagi tu? Cantikkan. Nanti bila masuk ke dalam lagi cantik. Bila malam nanti bila lampu di nyalakan, lagi menarik, Kin ” kata Umi sambil tersenyum.


“Mari kita naik atas ke bilik hotel dulu.” Kata abah, abah baru keluar dari lobby hotel, dia telah mengambil kad kunci bilik hotel.

“Kita rehat dulu, Pukul 11.30 pagi nanti kena siap-siap, hendak sembahyang zohor. Kalau lambat nanti kita tidak dapat sembahyang di dalam Masjid.”

Sukar rasa Syikin mengalehkan pandangnnya, tetapi mereka semua yang lain sudah melangkah masuk ke dalam hotel. Naim seperti biasa melompat sana sini. Syikin memegang tangannya dan memimpinnya masuk ke dalam hotel.

Umi, nenek, Syikin dn Naim dapat duduk satu bilik, manakala abah dan Naufal duduk di bilik sebelah dengan dua orang lagi jemaah lelaki. Bilik tidur mereka begitu besar sekali, terdapat empat buah katil yang tersusun kemas. Bilik airnya juga besar dan kelihatan mewah. Ada juga sebuah pantri kecil yang lengkap dengan sinki dan peti ais. Terdapat almari untuk menyimpan pakaian dan juga televisyen.

“Semuanya lengkap dan selesa ya, Nor.” Komen nenek.

“Insya allah macam tulah emak.”

Naim segera membuka suis TV, “Nak tenguk kartun, nak tenguk kartun.”

“Naim, kita rehat dulu. Kan lepas ini kita hendak pergi masjid.” Tegur nenek. Naim akur dengan teguran nenek.

“Pergi mandi dulu, rehat sekejap.” Kata Umi.

************************************

Keindahan masjid Nabi nyata sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Berdebar-debar Syikin rasa apabila dia mula hendak menjejakkan kakinya ke Masjid yang mulia ini. Makin dekat langkah Syikin makin kuat degup jantungnya. Jemaah-jemaah lain juga mula juga mula berjalan menuju ke masjid walaupun hari masih awal lagi. Matahari sudah tegak dilangit dan keadaan sekitar masjid kian panas.

Begitu besar sekali kawasan masjid itu, bentuknya sangat unik. Payung-payung gergasi yang dibina oleh kerajaan Arab Saudi di perkarangan luar dan bahagian terdedah di dalam masjid itu menambahkan lagi seri dan membuatkan sejuk mata memandang.
“Masa Umi datang dulu, tak ada payung-payung ini. Tapi masa tu bulan duableas, jadi keadaan sejuk sikit. Tetapi waktu musim panas, hangat betul. Sekarang ini senanglah kalau sembahyang di luar masjid, teduh sikit.” Kata Umi. Umi, Syikin dan nenek berpisah dari Abah, Naufal dan Naim. Mereka pergi ke kawasan sembahyang untuk kaum wanita.

Payung-payung gergasi dibina bagi memudahkan jemaah-jemaah menunaikan solat di luar Haram supaya tidak kepanasan. Payung-payung tersebut di buka di waktu tengahari ini, nampak kelihatan tambah cantik di luar kawasan Masjid Nabawi. Menjadikan keadaan di sekitar masjid begitu meriah sekali.

Bila masuk ke dalam masjid, Syikin lihat sudah ramai orang yang berada di dalam masjid. Syikin terhenti, tidak tahu macamana hendak teruskan perjalannannya. Dia tidak biasa bersesak begini.

“Jalan tepi-tepi Syikin. jangan langgar jemaah yang sudah duduk di saf-saf masing-masing.” Ujar Umi.

“Sudah penuh Umi, Kita kena sembahyang di luar nampaknya.”

“Sebenarnya dekat dalam tu banyak tempat sembahyang lagi. Syikin jalan tepi, minta izin dengan jemaah yang lain. Insya Allah boleh lalu.” Syikin tengok Umi menyelit dengan cekap antara jemaah-jemaah yang sudah duduk di saf-saf belakang. Terdapat juga tong-tong air zam-zam disusun sepanjang jalan di dalam masjid tersebut.


Memang benar kata Umi, Banyak lagi tempat sembahyang yang terdapat di bahagian paling depan sekali. Syikin pelik kenapa jemaah-jemaah yang lain tidak mahu memudahkan semua orang dengan mengambil saf depan. Dia mengelengkan kepalanya tetapi tidak berkata apa-apa. Nanti di tegur umi. Umi sudah selalu berpesan supaya menjaga mulutnya.

Setelah duduk di dalam masjid baru Syikin dapat melihat keadaan sekeliling, Kalau di luar masjid keadaan begitu mengagumkan, bahagian dalamnya pula lebih indah dan menakjubkan.

Pertama kali dia melihat keadaan sekeliling terasa sejuk matanya memandang. Terpegun sunguh rasa hati Syikin, terasa terlalu indah sungguh ukiran serta permandangan didalam masjid ini, rasa sejuk matanya memandang keadaan sekeliling masjid itu. Barulah syikin tahu kenapa ramai orang suka bersolat di dalam masjid ini. Ramai menikmati kedamaian serta ketenangan jiwa bilamana berada di dalamnya. Keindahan masjid ini bukan sahaja keindahan serta hiasan lampu-lampu, dan senireka-senirekanya  tetapi mungkin juga dengan adanya makam baginda Rasullah SAW membuatkan rasa indah itu datang dari dalama hati.  Tempat ini terasa terlalu aman, dingin dan  tenang rasanya. Berkali-kali Syikin mengucapkan Syukur Alhamdulilah kepada Allah yang menjadikan dia sebagai tetamuNya pada kali ini. Barulah Syikin faham kenapa Rasullah SAW amat suka Madinah.

Umi bangun dan mengambil air zam-zam dengan bekas air yang dibawanya. Dia pulang dengan membawa beberapa cawan plastik.

“Minum air ni, Syikin, emak. Kalau boleh minumlah sebanyak mana yang mungkin sambil tu, kita berdoa dengan doa ini. Banyak manfaatnya Kin.” Kata Umi sambil menunjukkan doa yang sepatutnya di bawa bila meminum air zam zam.

"Ya Allah,sesungguhnyaaku bermohon kepadamu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan penawar bagi segala penyakit."

*************************************

Keesokan harinya, mereka di bawa untuk ziarah ke dalam masjid.  Tempat yang menjadi tumpuan di dalam atucara ziarah dalam Masjid Nabawi  ialah  Makam Nabi Muhammad SAW serta dua sahabat baginda iaitu Saidina Abu Bakar As-Sidik dan Saidina Omar Al-Khatab dan Raudhah.

Kaum lelaki di bawa oleh petugas Haji lelaki, manakala jemaah Haji wanita mengikut petugas haji wanita. Umi ikut juga ziarah walaupun dia sudah tahu luar dalam masjid Nabi ini. Umi ingin berkongsi pengalaman dengan Syikin dan nenek dan juga Umi ingin masuk ke Raudah.

Raudah adalah kawasan yang menjadi sasaran utama di Masjid Nabawi. Raudhah adalah tempat yang begitu istimewa,  terletak di antara Makam Nabi dan mimbar. Ruangan solat itu dihamparkan permaidani berwarna hijau.

Kalau Syikin dapat duduk lama dan berzikir di kawasan itu, cuba Syikin tarik nafas lama-lama, kawasan itu berbau harum berbading dengan kawasan lain dalam masjid ni.”

“Kalau ikut hadis Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, “Di antara rumah dan mimbarku adalah taman dari taman-taman syurga dan mimbarku di atas telagaku.”

“Jadi, apa yang patut kita buat di sini?” Tanya Syikin.

“Raudhah juga dikatakan tempat yang doa seseorang mudah dimakbulkan Tuhan. Syikin doa lah apa sahaja yang Syikin inginkan. Insya Allah akan makbul.”

Syikin menganggukkan kepalanya,  Raudhah ini adalah taman dari taman-taman syurga?  Tidak hairan kenapa ruang sempit berkarpet hijau dan harumannya begitu menyegarkan menjadi tumpuan para jemaah selain Makam Nabi.

“Syikin tahu tak? Ada pula pendapat mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan taman itu adalah tempat itu kelak akan berpindah ke akhirat. Selain itu, Makam Nabi dulunya adalah bekas rumah Rasullullah dan mimbar yang ada sekarang di Masjid Nabawi adalah tempat Nabi berkhutbah sambil berdiri bersandarkan batang kurma. Mimbar khusus dibina untuk baginda selepas itu atas syor para sahabatnya.”

Memandangkan banyak ruang kosong di dalam raudhah, Syikin menunai sembahyang sunat sebanyak dua rakaat dan kemudian mengambil peluang ini untuk berdoa dengan yang Maha Kuasa. Doanya hanya agar ALAAH kuatkan imannya agar menjadi insan yang mulia disisiNYA, berikan kekuatan pada dirinya, tunjukkan dia jalan yang benar dan kesihanilah keluarganya yang menyayanginya.

Pada hari pertama dan kedua Syikin berada di Masjid, Syikin dapat bersolat, berzikir dan berdoa di Raudhah dengan selesa kerana jemaah luar negara ketika itu tidak ramai. Bila masuk hari ketiga dan seterusnya terutama dengan ketibaan jemaah dari India, Turki dan Pakistan, peluang itu menjadi terlalu sukar. Bagi kaum wanita hanya dua waktu sahaja yang dibenarkan untuk mereka melawat Raudhah setelah kepungan di buat, laluan disediakan untuk jemaah wanita berjalan ke Raudhah. Waktu selepas subuh pada pukul 7.00 pagi sehingga 11.30 pagi dan selepas zohor pada pukul 2.00 petang sehingga 3.30 petang sahaja.

Selepas dapat bersembahyang dan berdoa di Raudhah, Syikin dapat merasakan ketenangan jiwa menyerapi dirinya, setelah beberapa lama dia dalam keadaan gundah gulana. Oleh yang demikian dia tidak melepaskan peluang untuk masuk ke Raudhah setiap kali dapat peluang berbuat demikian. Kadang-kala Syikin sanggup tidak bersarapan atau makan tengahari kerana hendak menunggu waktu Raudhah di buka. Nenek hanya pergi dua kali sahaja kerana tidak berdaya berebut dengan jemaah yang lain. Memang ribuan jemaah berebut-rebut untuk bersolat dan berdoa di Raudhah. Syikin bersyukur kerana dia masih muda dan cergas, jadi dia boleh berlari dengan cepat dan dapat memboloskan dirinya dalam ribuan manusia yang berebut-rebut hendak duduk di ruang raudhah itu. Pengawal-pengawal Madinah akan membahagikan kumpulan yang melawat Raudhah mengikut tempat asal masing-masing, Pakistan dan India, jemaah dari Asia Tenggara, Turki dan juga Arab. Dengan ini tidak semua akan serbu masuk ke dalam kawasan Raudhah dan akan menyebabkan kesesakan dan boleh menyebabkan kemalangan yang tidak di ingini.

Umi hanya melihat sahaja perkembangan terbaru Syikin, kadang-kala Umi tergelak melihat Syikin memecut macam berlari 100 meter mengikut jemaah-jemaah lain untuk dapat tempat hadapan ke Raudhah. Umi dan nenek akan tunggu sahaja Syikin di ruang sembahyang sehingga Syikin selesai sembahyang dan berdoa di Raudhah. Bila selesai, Umi lihat muka Syikin kemerah-merahan dan kegembiraan kerana dapat mendapat tempat untuk bersembayang dan berdoa di Raudhah. Kadang-kala Syikin membantu orang yang lebih tua darinya dengan mengepung tempat sembahyangnya dari di pijak orang.

“Umi, tadi ada jemaah Turki cium pipi Kin di dalam Raudhah.” Kata Syikin sambil setelah dia sampai ke tempat umi dan nenek menunggunya.

“Kenapa Kin?” Soal Umi.

“Kin tolong dia halang dia dari jatuh, Kemudian Syikin tolong bagi dia tempat sembahyang Kin, Dia peluk Kin lepas itu dia cium, dia cakap Turki, Kin tak faham.” Jelas Syikin, matanya kelihatan bersinar dan pipinya kemerah-merahan akibat aktiviti yang dilakukan itu. Umi bersyukur dengan perubahan diri Syikin. Mungkin Syikin belum sedar, tetapi matanya sudah mula bersinar, seperti dahulu.

“Memang sudah hendak faham bahasa Turkiye ni. Kalau Hindustan, Urdu, Arab boleh juga faham.” Kata Umi. Syikin kena berhati-hati sikit, Bila orang makin ramai, makin sesak keadaan di Raudhah, ramai daripada mereka berhenti terlalu lama untuk berdoa dan ada pula berebut-rebut mahu berada di bahagian hadapan.

“Semua orang ingin berada di sana Umi, Syikin faham perasaan semua jemaah yang berada di situ.”
Semasa melawat Makam Nabi dan dua Khalifah terulung itu, tiba-tiba perasaan Syikin benar-benar tersentuh. Tiba-tiba dia menitis air mata apabila menziarahi makam tersebut. Walaupun Syikin tahu mereka akan melawat Makam Rasullah dan Dua sahabatnya, tetapi bila dapat peluang melihat makam itu dengan mata dan kepalanya sendiri, dia rasa begitu sayu lantas menitiskan air matanya. Di sini tersemadinya  Nabi terakhir dan dua Khalifah yang berjuang bersama-sama baginda Rasul sehingga syiar Islam dapat tersebar luas..

Syikin tidak menyangka yang dia akan terpegun bila berada di dalam masjid ini. Sungguh dia tidak menyangka, seribu macam perasaan yang menerpa dirinya semenjak dia menjejakkan kakinya di bumi bertuah ini, bumi yang di cintai oleh Kekasih Allah. Junjungan Besar Nabi Muhammad. Perasaan halus menyelinapi dirinya. Patutlah Umi mendesak Syikin datang mengunjungi tanah Suci ini. Patutlah Umi dan abah, begitu perasaan mereka. Rindu mereka kepada Tanah Suci, kepada Rasullah dan kepada Yang Maha Berkuasa melebihi segala-galanya. Syikin mula memahaminya, ada cinta yang lebih agung dari cinta seorang lelaki dan seorang perempuan. Syikin memohon agar dia dan adik-adiknya juga akan dapat menikmati keindahan cinta itu, walaupun mereka masih muda lagi. Syikin berdoa agar Allah menerima permohonannya itu.

Syikin mengakui bahawa menjejaki kaki ke Masjid Nabawi adalah pengalaman yang unik, rasa satu perasaan tenang menyelimuti dirinya, Semasa azan di laungkan, semua orang dari berbagai pelosok dunia, bermacam-macam rupa dan saiz, warna dan berbagai bangsa datang untuk menunaikan kewajipan mereka kepada Yang Maha Berkuasa. Perpaduan semua yang begitu terserlah dan mengagumkan,  perpaduan ini yang tidak dapat ditandingi oleh lain-lain ugama.

Walaupun setiap hari bersembahyang di masjid ini setiap hari , ada sahaja benda baru yang menakjubkan dan mengkagumkan. Syikin kagum melihat beberapa kubah kubah di Masjid Nabawi  yang boleh di gerakan serta di buka untuk para Jemaah didalamnya melihat permandangan di atas langit. Bila kubah itu dibuka di waktu malam. Terasa kedinginan  menyapa para jemaah. Terdapat seni ukiran yang terlalu di kubah tersebut. Syukur Alhamdullillah,  kerana matanya dapat menikmatik keindahan dan keagungan seni reka bentuk islam  dalam masjid ini. Kadang-kala  timbul rasa bangga dengan kebolehan umat islam menghasilan satu yang begitu indah dengan ukiran, gabungan warna senibina masjid yang menjadikan  masjid Narbawi  tersergam dengan penuh gilang gemilang, mengamit para pengunjung untuk ke situ dan membuat pengunjungnya rasa tidak sanggup untuk meninggalkannya.

Dewan makan Hotel Anwar Al Medina Movenpick sentiasa penuh semasa waktu makan. Makanan yang disediakan adalah makanan melayu. Kadang–kala yang bernasib baik atau cepat datang untuk makan, ada hidangan sambal belacan. Itu hidangan yang menjadi rebutan ramai jemaah. Selain dari itu salad dan buah-buahan di hidangkan dengan begitu banyak kepada para jemaah. Naufal dan Naim suka sekali dengan makanan yang dihidangkan oleh hotel ini. Semuanya sedap belaka. Nenek juga nampaknya tidak banyak komen, selalunya nenek cerewet sikit tentang makan minumnya. Mungkin makanan disini sesuai dengan seleranya atau dia menjaga adabnya kerana berada di tanah suci. Syukur Alhamdullillah nenek juga sihat wal afiat selama berada di bumi Madinah ini.

Selalunya selepas sarapan akan di adakan ceramah bagi penyediaan untuk menunaikan ibdah umrah dan Haji. Para jemaah di ingatkan agar menjaga kesihatan supaya bila masa melakukan ibadah haji nanti semuanya dalam keadaan sihat. Para jemaah diingatkan agar sentiasa berzikir dan beristigfar kepada Allah.

“Sekurang-kurangnya sehingga hari wukuf nanti, semua diminta berisgtifar sebanyak mana yang mungkin. Dengan ini akan memudahkan perjalanan para jemaah sekelian. Mudah-mudahan Allah akan menerima ibadat kuta semua, semoga mendapat haji mabrur.”  seru Ustad di datangkan khas oleh pihak tabung Haji untuk menyampai  ceramah kepada para jemaah Haji.


Di luar Masjid Nabawi, terdapat satu lagi pemandangan yang amat menginsafkan,  iaitu kawasan perkuburan al-Baqi’. Perkuburan itu menempatkan 10,000 sahabat, isteri-isteri anak-anak Nabi dan Khalifah Islam ketiga iaitu Saidina Othman bin Affan.

Syikin tidak masuk ke dalam, cuma melihat dari luar pagar sahaja. Syikin dapati keadaan kubur itu terlalu sederhana. Hanya batu-batu bukit berwarna hitam menjadi batu nesan mereka sama ada kubur ahli keluarga Nabi, Saidina Othman atau sahabat-sahabat baginda. Menurut abah, horang hanya dapat mengagak sesebuah kubur itu menempatkan kubur tokoh-tokoh penting pada era Nabi berdasarkan saiz kubur yang agak besar dari biasa.

“Syikin tahu tak, apabila tiba hari Kiamat, penghuni kubur yang mula-mula akan dibangkitkan ke Padang Mahsyar kelak adalah para penghuni di perkuburan al-Baqi.” Terang ayah lagi. “Ada hadis yag berbunyi, " Barangsiapa yang mampu untuk meninggal di Madinah, maka meninggallah di sana karena sesungguhnya aku akan memberi syafaat kepada orang yang meninggal di sana. "

Itu sebab ramai para jemaah bercita-cita untuk meninggal di Madinah. Baru  kini Syikin memahami kenapa jemaah-jemaah haji yang berusia selalu mengatakan ingin mati di tanah suci terutamanya di Madinah.

“Umi pun harap-harap agar dapat meninggal di Madinah.” Ujar Umi, wajahnya penuh harapan.

“Kenapa Umi cakap macam tu.” tanya Naufal.

“Madinah adalah daerah yang paling dicintai oleh Allah Taala.” Terang Umi.

Madinah ni adalah tempat hijrah utusan-Nya, Nabi Muhammad SAW,  tempat tidur beliau, keluarganya, tetangganya. Dan pada pintu masuknya terdapat malaikat yang menjaga.”

Bumi madinah ni tidak akan dimasuki oleh Dajjal dan penyakit thaun. Ia adalah negeri terakhir di dunia yang akan hancur. Ia adalah tempat turunnya wahyu.” Terang Umi lagi dengan panjang lebar.

“Kalau macam tu, Naufal pun mahu berdoa agar bila mati nanti, dapat mati di bumi Madinah jugalah.” Kata Naufal bersungguh.

***********************************

Selain dari ziarah di dalam masjid, Tabung Haji juga mengadakan ziarah luar. Antaranya ialah ziarah ke Masjid Quba dan Masjid Qiblatan. Masjid Quba yang letaknya beberapa kilometer dari Masjid Nabawi,  juga  mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Sebelum melawat masjid Quba, Umi menyuruh semua mengambil air sembahyang terlebih dahulu. menurut Umi, semasa hidupnya, Nabi amat menyayangi masjid tersebut kerana dikatakan ia dibina atas dasar taqwa dan ada hadis nabi yang berbunyi,  Sesiapa sesiapa yang mengambil wuduk di rumah dan berjalan untuk beribadat di Masjid Quba, pahalanya ialah seperti melakukan umrah.   Nabi Muhammad SAW pun kerap bersembahyang di Masjid Quba.

Mereka juga berkesempatan melawat Masjid Qiblatan. Masjid itu dinamakan demikian kerana masjid itu dulunya pernah berkiblatkan ke arah Baitulmaqdis sebelum Nabi SAW kemudiannya meminta agar kiblatnya diarahkan ke Kaabah seperti sekarang ini.

Mereka dapat melihat dari dalam masjid itu ada dua arah kiblat iaitu kiblat dulu di salah satu pintu masuk utama dan kiblat sekarang yang bertentangan dengannya. Syikin sempat juga bersembahyang sunat di masjid yang mempunyai sejarah penting itu.

Selain menziarahi masjid-masjid itu, kawasan bersejarah lain yang wajar dilawati adalah Makam Saidina Hamzah iaitu bapa saudara Nabi yang mati syahid dalam peperangan Uhud. Makam Saidina Hamzah yang berkongsi batu nisan disemadi bersama 69 syuhada Islam yang terkorban dalam perang menentang tentera kafir Quraish. Di Bukit Uhud, sekali lagi Syikin rasa terharu, mengenangkan perjuangan Nabi dan sahabat-sahabatnya untuk menegakkan syiar Islam.  tanpa disedari air matanya mengalir  bila mengenangkan jasa-jasa mereka.   Tidaklah Syikin dapat berdiri di sini,   tanpa perjuangan suci mereka. Syikin menghadiahkan Al Fatihah kepada semua.

Selain daripada juga terdapat gedung-gedung membeli belah berselerakan di kawasan hotel-hotel besar. Betul kata abah, jubah-jubah yang dijual jauh lebih murah di Madinah jika hendak di beli Di Malaysia, cantik-cantik pula itu.   Syikin seronok tengok Umi dan Naufal mencuba Bahasa Arab mereka yang berterabur itu semasa  membeli belah dan menawar harga barangan.  Nenek hendak membeli jubah di Makkah tetapi Umi kata, Jubah di Mekah tidak sama dengan di Madinah. Lebih baik nenek beli juga dua tiga helai di Madinah dan bila sampai di Mekah, nenek boleh beli juga.  Umi dan nenek banyak juga membeli barangan di Madinah. Tetapi abah sudah ingatkan, perjalanan masih jauh dan lama lagi. Mereka akan menempuh perjalanan ke bumi Makkah Mukaramah. Lebih banyak cubaan akan menunggu di sana.

Hari ini,  setelah berjaya menunaikan sembahyang selama 40 waktu di masjid Narbawi, para jemaah akan bertolak menuju ke Makkah selepas waktu zohor. Para jemaah dinasihatkan agar melakukan ziarah wada sebelum itu. Selepas itu mereka mandi dan memakai pakaian ihram, dalam perjalanan ke Makkah, para jemaah akan berhenti di Bir Ali, tempat terakhir untuk memasang niat umrah sebelum masuk ke Makkah.

Syikin dan keluarga pergi ke masjid untuk melakukan ziarah wada. Sesungguhnya dia rasa begitu sedih hendak meninggalkan makam nabi dan juga masjid yang hebat dan gemilang ini. Tidak sanggup dia hendak berpisah dari masjid ini yang telah menambat hatinya dan memberikan ketenangan dan kedamaian kepadanya.  Syikin panjatkan doanya sebelum dia meninggalkan kawasan Makam Nabi Allah terulung itu.
"Jika panjang Umur,  Ya Allah,  izinkan Hamba mu datang lagi ke sini.”

Sesudah selesai ziarah makam nabi, Umi, nenek dan Syikin berjalan keluar masjid. Mereka menuju ke tempat yang di janjikan, untuk berjumpa dengan Abah.  Abah, Naufal dan Naim masuk ikut pintu bahagian lelaki untuk melawat makam Nabi. Setelah menunggu beberapa minit dalam keadaan panas terik itu, Abah, Naufal dan Naim masih belum muncul lagi. Umi menelefon abah, Umi bertanya di mana abah dan anak-anak. Tiba-tiba suara umi bunyi agak cemas.

“Hilang? Hilang di mana?

“Kami datang ke situ, abang di mana?” Umi menamatkan perbualannya dan terus mengajak Syikin dan nenek mengikutnya.

“Kenapa Umi?”

“Naim hilang.”

“Ya Allah. Astagfirullah Al Azim.” Nenek beristigfar panjang. Syikin pun jadi cemas. Naim memang nakal dan teralu aktif budaknya. Sukar hendak menjaganya. Syikin mesti pegang tangan nya bila berjalan-jalan disekitar Madinah. Syikin berdoa kepada tuhan agar mereka dapat jumpa Naim dengan secepat mungkin.

Abah dan Naufal terpinga-pinga di tengah-tengah orang ramai. Mereka kelihatan cemas.

“Macamana boleh hilang?”

“Dalam ramai-ramai tadi di Raudhah, tiba-tiba terlepas pegangan tangan abang.”

Nenek mula menangis. Syikin rasa tidak berupaya untuk berbuat apa-apa. Ribuan manusia lalu lalang disekeliling mereka. Keadaan di luar masjid agak panas.

Umi memujuk nenek. Abah pun nampak sedih. Mereka semua termenenung di tengah-tengah dataran masjid, sambil memujuk nenek yang sedang menangis.

“Li maza? Ma I-mushkila?” tiba-tiba satu suara menegur mereka. Seorang lelaki berhenti dan bertanya kenapa, ada apa-apa yang tidak kena?  Mungkin dia kesihan melihat nenek sedang menangis.

“Ibnun! Ibnun!. Kata umi dalam keadaan panik,  kemudian itu dia mengayakan tangannya, menunjukkan ketinggian Naim.

“Ayna?”

“Raudhah”

“Li maza? Pemuda itu macam tidak berapa faham maksud Umi.

“Lau ….. samahta ya…. akhi (Bolehkah saudara bantu saya?)” tanya umi tersekat-sekat.

“ naan, naam, tatakallam ingliizii?”

Naufal dan Umi mengangguk kepalanya. Umi beritahu abah, pemuda itu tanya samada mereka boleh cakap inggeris?

“Naam, naam.” Jawap Naufal.

“… Slooowly.....” kata pemuda itu,    meminta umi bercakap perlahan. Mungkin dia pun hanya tahu sepatah dua sahaja bahasa Inggeris. Syikin hilang sabar dengan gelagat pemuda Arab itu. Nak kata Arab pun,  muka dia bukan macam orang Arab sangat.

“Ibnun .., .. missing, gone! Raudhah” Kata Umi. Umi sudah tidak tahu hendak bercakap lagi. Dia panik. Bahasa arab dia berterabur habis. Abah juga kelihatan cemas, dia rasa bersalah, dia yang terlepas pegangan Naim tadi.
Abah mengeluarkan buku perubatan  Naim dari beg hijau yang tergantung di lehernya, lalu menunjukkan gambar Naim yang ada di dalam buku kepada pemuda itu.

“ismu?”

“Ismul akhi Naim” Jawab Naufal, kemudian menyambung, "umru akhi sab'a sanawatin."

“Ibqa hunaa.” Pemuda itu menghilangkan dirinya. Abah menoleh kepada Umi dan Naufal.

“Dia suruh kita tunggu sini.” Kata Naufal.

Mereka menunggu seketika. Abah hendak pergi balik ke Hotel, untuk melaporkan kehilangan Naim. Mereka sepatutnya bersiap-siap untuk berihram pada masa ini. Apa yang hendak mereka lakukan kalau Naim terus hilang?

Syikin hendak pergi mencari Naim lagi. Dia tidak boleh duduk diam dan menunggu sahaja. Dia pelik melihat Umi dan abah cuma mengharapkan pemuda itu untuk mencari Naim. Mereka nampaknya hilang punca dan berdiri sahaja di tengah-tengah dataran masjid itu dan asyik beristigfar dan berdoa. Dia tidak percaya dengan keikhlasan pemuda itu tadi. Mukanya berserabut dengan misai dan janggut, berambut panjang dan memakai cap. Bukan seperti jemaah-jemaah haji yang lain. Macam pekerja tukang cuci kawasan masjid sahaja.

‘Takkan Umi dan abah percaya dengan orang macam tu. Rupa penyangak aje.”

“Hish, Syikin, tak boleh bercakap macam tu di sini. Jangan sangka buruk. Mungkin rupa mereka buruk tetapi niat di hatinya mungkin ikhlas.”

"Syikin hendak pergi cari di keliling-keliling sini. Mana tahu Naim pun tengah cari kita.?

"Kita tunggu dulu Kin."

Sudah hampir dua puluh minit mereka menunggu di situ. Abah dan Umi semakin cemas. Nenek menangis tidak henti-henti.

"Mari Naufal, Kita pergi tengok-tengok keliling." Kata Syikin, menarik tangan Naufal. Dia sudah tidak senang duduk dengan asyik menunggu sahaja.

"Syikin nak pergi mana, nanti Syikin pulak hilang." tegah nenek.

"Tak apa, Syikin ada phone, lagipun Syikin tahu jalan balik. ke hotel bukan susah sangat. Tu sahaja hotel kita." kata Syikin sambil menunjukkan ke arah hotel Anwar Al-Medina Movenpick.

"Umi! Umi! Umi!"

Tiba-tiba kedengaran suara Naim memanggil mereka. Mereka menoleh ke arah suara itu, Naim berjalan menuju mereka, dia dipegang oleh pemuda tukang cuci masjid tadi. Dia berjalan sambil melompat-lompat, tetapi pegangan tangannya tidak dilepaskan langsung oleh pemuda itu.

"Naim!"  leganya Umi rasakan. Umi begitu yakin,  pemuda yang muncul entah dari mana tadi itu, di datangkan untuk menolong mereka.  Umi yakin sangat.  Umi lega keyakinannya itu memang betul.  Mereka meluru ke arah Naim. Apabila dekat baru pemuda itu melepaskan tangannya. Naim berlari ke arah Umi dan memeluk Umi.

"Naim pergi mana?"

"Naim main dengan kawan-kawan di pintu masjid. Abang tu jumpa Naim"

"Turkiye." jawab pemuda itu. Naim bermain dengan budak-budak Turki.

"Syukran, syukran, thank you." seru Umi, sungguh-sungguh berterima kasih dengan tukang cuci itu.

"Ma, min muskhila. ..... Maliziya?" tanya pemuda itu.

"Naam, naam, min Maliziya." Jawab Naufal.

Dia menggangguk kepalanya kemudian tanpa bercakap banyak pemuda lagi itu bersalam dengan abah dan terus beredar. Dia nampak macam hendak cepat beredar dari situ.

"Abang! abang!" teriak Naim, tetapi pemuda itu telah hilang dalam ribuan manusia yang membanjiri masjid Nabawi untuk bersembahyang Zohor.

"Naim hendak ucapkan terima kasih." kata Naim hampa tidak dapat berbuat dengan kepada pemuda itu. Syikin menahan Naim dari pergi mengikut tukang cuci itu dengan memegang tangan Naim dengan kuat. Takut Naim hilang lagi.

"Tak apalah Naim, dia tahu kita sangat-sangat berterima kasih dengan dia. Naim doakan yang baik-baik untuk dia nanti. Mari, kita sudah terlambat ni. Kita sudah kena bersiap berihram untuk masuk ke Mekah." kata abah, syukur alhamdullillah Naim telah selamat di jumpai. Dapatlah mereka meneruskan perjalanan mereka ke Kota Suci Makkah Al Mukarrammah. Masjid Suci berkubah hijau tinggal jauh dari pandangan....

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

2 comments:

Qimi08 said...

Alina n3 bab 5 ni buat airmata saya mengalir...Pengalaman keluarga shikin ini saya telah lalui.rindunya nak beribadat di masjid nabi, ziarah makan nabi (dari jauh)sembanyang sunat diraudhah shaff paling hadapan masih terbau-bau lagi haruman carpet diraudhah.Ziarah wida air mata mengalir tidak berhenti-henti..

Hotel Anwar Al Medina Movenpick -memang cantik

Anonymous said...

touching lah!!!!
rase macam nak pergi jugak!